14 Februari 2008

Gilap bakat pelukis muda

Glass Gallery yang menjual lukisan kaca turut memberi peluang kepada pelukis-pelukis muda untuk mengembangkan idea segar mereka.

SEBAHAGIAN koleksi di Glass Gallery turut mendapat sentuhan daripada pelukis muda.

“GLASS Gallery bukan sekadar mempamerkan koleksi lukisan kaca yang cantik tetapi pada masa yang sama, membantu dan membuka peluang kepada pelukis muda dan baru untuk mencipta nama dalam dunia seni.

“Selain Ziehan yang menjadi pelukis sepenuh masa di sini, kami turut dibantu oleh pelukis-pelukis separuh masa dan pelajar seni lukis. Cuba anda lihat, logo yang tertera pada pinggan ini dihasilkan oleh pelajar seni lukis,” ujar Pengarah Eksekutif, Glass Galllery, Mahani Amat.

Kata Mahani, tujuan menggunakan khidmat pelukis muda adalah sebagai tanda sokongan dan bantuan kepada mereka yang baru mula bertatih dalam bidang seni lukis ini.

Lazimnya, segelintir pelukis baru tidak mempunyai modal atau pengalaman yang secukupnya untuk membuka sebuah galeri. Justeru, di Glass Gallery, setiap lukisan kaca yang dilakarkan oleh mereka akan dijual dan dipamerkan di sini.

“Jangan anggap pelukis muda dan baru tidak berbakat dan kreatif. Hakikatnya, pelukis muda banyak melahirkan idea dan seni yang segar. Malah, pelukis baru masih boleh dibentuk dan bakal menjadi pelukis profesional, sekiranya mereka diberi peluang.

“Saya hanya inginkan pelukis baru sahaja. Pelukis yang sudah ada nama atau profesional sudah mampu menjual produk dengan label mereka sendiri,” katanya.
NORZIEHAN Abdul Rahim merupakan pelukis tetap di Glass Gallery.

Sementara itu, pelukis tetap Glass Gallery, Norziehan Abdul Rahim, 27, memberitahu, Glass Gallery mampu menerima tempahan lukisan kaca dalam kuantiti yang banyak. Selain memiliki tenaga pelukis yang berbakat dalam menghasilkan corak, Glass Gallery juga mempunyai kilang di beberapa buah negeri.

“Pelanggan boleh menempah lukisan kaca untuk dihadiahkan kepada para tetamu. Pemberian cenderamata kepada para tetamu, sudah menjadi trend pada masa kini,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggil Ziehan.

“Saya pernah melihat lukisan kaca dari luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Sweden tetapi ia masih tidak sama dengan lukisan yang dihasilkan di Glass Gallery,” kata Mahani yang pernah menjual lukisan kaca berharga RM1,000.

Menurutnya, Glass Gallery menggunakan konsep mesra pelanggan. Pelanggan boleh memberikan idea dan menggambarkan lukisan yang dikehendaki kepada pihak galeri.

“Segala-galanya mudah di Glass Gallery, pelanggan hanya datang ke sini dengan membawa idea, konsep dan corak yang dikehendaki. Pelukis galeri akan membantu memberi pandangan dan jenis lukisan yang sesuai.

“Malah, pelanggan boleh menyatakan tema mereka dan kami akan memikirkan motif yang sepadan dengan majlis,” ujar Ziehan yang sentiasa membuat kajian dan merujuk buku untuk mendapatkan lakaran yang menarik.

Tidak ada komentar: